Liku-Liku Ke Arah Menjadi Pustakawan …

Secara rasminya saya telah memulakan kerjaya sebagai Pustakawan semenjak tahun 1996. Bagaimana saya boleh terjebak dengan kerjaya di Perpustakaan?

DSC_0015

Seawal sekolah rendah saya telah didedahkan dengan perpustakaan, waktu itu perpustakaan dikenali dengan nama kutub khanah. Saya pernah meminjam buku daripada kutub khanah sekolah antaranya buku cerita Hikayat Sang Kancil, Cinderalela, Snow White, Bawang Putih Bawang Merah, kisah penyiasatan Hardy Boys, buku cerita karya Enid Blyton dan lain-lain lagi. Hampir semua koleksi dalam kutub khanah sekolah adalah buku cerita dalam pelbagai saiz, dan yang paling menarik perhatian adalah buku cerita bergambar. Untuk mendapatkan buku cerita ini saya terus pergi ke rak, melihat dan membelek satu persatu buku-buku yang berada di situ dan kalau berkenan terus bawa ke kaunter pinjaman. Pinjaman untuk tempoh seminggu sahaja akan direkodkan oleh cikgu yang bertugas.

Dan semasa di sekolah menengah, semasa di tingkatan Empat dan Lima saya juga pernah terlibat menjadi “pustakawan”, membantu guru pusat sumber merekodkan maklumat buku yang dibeli ke dalam buku rekod yang dikhaskan untuk tujuan itu. Pada waktu itu sistem berkomputer masih belum wujud. Kad katalog ada disediakan tapi saya tak tahu pula fungsinya. Jika hendak meminjam buku perlu bawa kad keahlian. Hanya 2 buku dibenarkan untuk dipinjam pada satu-satu masa. Selain tugas merekod pembelian, pustakawan sekolah juga ditugaskan menjaga kaunter pinjaman dan juga menyusun buku di rak tetapi pada waktu itu tidak ramai pelajar yang berminat mengulangkaji dalam pusat sumber. Jadi tugas sebagai pustakawan tidak membebankan langsung. Sangat gelihati bila teringatkan kerjaya pustakawan di zaman persekolahan.

Masa terus berlalu, di peringkat Universiti, saya ke perpustakaan hanya bila hendak meminjam buku rujukan terutamanya yang disenaraikan oleh pensyarah, atau perlukan buku rujukan tambahan untuk membuat tugasan. Jujur saya katakan, pada peringkat awal menggunakan Perpustakaan saya tidak pernah berjumpa dengan pegawai Perpustakaan yang bertugas sekiranya tidak menjumpai buku yang dicari atau menghadapi masalah mendapatkan bahan untuk membuat tugasan. Pada masa itu istilah pustakawan pun saya tidak tahu. Bahan rujukan yang saya gunakan hanya tertumpu kepada buku, artikel jurnal kami tak kenal pun. Pada musim peperiksaan, saya ke Perpustakaan bersama rakan-rakan sekuliah, mencari soalan tahun-tahun lepas dan membuat ulangkaji berdasarkan soalan tersebut.

Sehingga di tahun empat, kami terpaksa membuat laporan projek akhir yang memerlukan kami membuat penyelidikan dan merujuk kepada bahan yang lebih ilmiah. Terkial-kial kami mencari artikel dalam jurnal, meninjau, mengangkat satu-persatu jurnal berjilid, menyelak muka surat demi muka surat mencari artikel yang sesuai. Siap bersila di atas lantai. Rupa-rupanya gelagat kami diperhatikan oleh pegawai Perpustakaan yang ingin tahu sama ada kami ada masalah mendapatkan bahan. Kami diajar bagaimana menggunakan abstraks. Masih saya ingat, pegawai tersebut mengambil Biological Abstracts dan menunjukkan cara-cara yang betul untuk mendapatkan artikel yang berkaitan dengan topik yang kami cari. Sangat membantu dan sangat terhutang budi kepada pegawai berkenaan. Terasa rugi kerana berlagak sombong dan tidak memanfaatkan perkhidmatan dan kemudahan Perpustakaan dengan sebaiknya.

Ingatkan cerita Perpustakaan sudah berakhir sebaik tamat sesi pengajian tetapi takdir Tuhan siapa pun tidak menjangka. Semasa bekerja sebagai pembantu penyelidik, ada rakan mengusulkan agar menyambung pengajian diploma lepasan ijazah sains perpustakaan kerana menurutnya rakan beliau yang baru tamat kursus tersebut sangat mudah mendapat pekerjaan. Jadi tanpa membuang masa saya pun terus memohon kursus yang ditawarkan di Universiti Teknologi MARA (pada masa itu dikenali sebagai Institut Teknologi MARA).

Alhamdulillah, kursus intensif tersebut hanya mengambil masa selama setahun. Sebaik tamat kursus, terus bekerja sementara di Perpustakaan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), mengindeks artikel penyelidik IMR.

Memang betul apa yang rakan saya katakan, pada masa tersebut peluang pekerjaan sebagai Pustakawan amat luas. Semasa tempoh bekerja sementara yang tidak sampai setahun, saya mencuba nasib dengan menghadiri sesi temuduga sebagai Pustakawan di Perpustakaan Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaya, dan Perpustakaan Negara Malaysia. Dan alhamdulillah, rezeki saya di sini sehingga ke hari ini..

Hasil Nukilan
Cik Sutarmi Kasimun
Ketua
Bahagian Perolehan
Perpustakaan Utama
Universiti Malaya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s