Berminat menulis travelog atau menjadi penulis alternatif?

Khairul Abdullah, satu nama yang tidak asing lagi bagi mereka yang meminati buku bercorak alternatif yang mana corak penulisannya kalau dilihat bersifat lebih telus dan jujur terutama dari segi penggunaan bahasa dan idea. Buku genre sebegini kian mendapat tempat di kalangan pembaca tempatan. Maka tidak hairanlah buku Khairul yang berjudul Mentaliti Jamban sudah diulang cetak untuk kali yang ke-4. Khairul juga merupakan penulis travelog berjaya di alam maya dengan hits terkini yang telah mencecah lebih 6 juta.  Ikuti kisah beliau.

22357_251567037276_7803741_n

1.Boleh terangkan serba sedikit tentang diri anda?

Saya berasal dari negeri Kedah.  Menerima pendidikan di Sekolah Sains Perlis, kemudiannya melanjutkan pelajaran ke UiTM Shah Alam di dalam bidang Perancangan Bandar. Setelah bekerja di dalam industri pembinaan selama hampir 7 tahun saya berhenti dan bekerja sendiri sebagai seorang pereka dan jurugambar bebas bagi memenuhi minat mengembara.
Mula menjelajah negara-negara sekitar Asia ketika berusia 20an dan seterusnya ke negara-negara lain sehingga sekarang. Dengan minat terhadap kembara dan juga pengalaman saya di dalam bidang rekabentuk dan fotografi, saya berpeluang untuk tinggal dan bekerja di Jerman selama hampir 4 tahun. Peluang tersebut digunakan dengan sebaiknya untuk menimba pengalaman serta menjelajah Benua Eropah.
Saya mula menulis di laman blog tentang pengalaman kembara serta sikap-sikap manusia pada tahun 2007 dan juga di laman facebook pada tahun 2012. Tulisan saya mula mendapat perhatian apabila beberapa artikel mula viral. Dengan jumlah trafik ke laman web yang banyak dan tulisan-tulisan yang sering viral maka saya mula menerima tawaran untuk menulis buku.
Buku pertama saya berjudul “I’m A Backpacker Europe” dipilih oleh MPH sebagai salah sebuah dari 10 buku terbaik 2016 manakala buku yang sama juga dan buku kedua saya berjudul “Mentaliti Jamban” dicalonkan untuk Anugerah Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian 2017. Antara judul buku saya yang baru diterbitkan ialah “I’m A Backpacker: Germany” dan “Untunglah Malaysia Masih Aman”. Sehingga ke hari ini saya telah menghasilkan 4 buah buku dan sedang menulis buku-buku yang seterusnya.
Saya juga sering menerima jemputan untuk berceramah di sekolah-sekolah dan juga institusi pengajian tinggi bagi berkongsi pandangan dan pengalaman.
 

2. Buku apakah yang anda baru selesai baca baru-baru ini? 

Saya baru menghabiskan buku berjudul Jerusalem: The Biography oleh Simon Sebag Montefiore. Buku ini bercerita tentang sejarah Bandar Suci Al-Quds atau dikenali juga sebagai Baitulmaqdis.

Hampir 2 tahun saya ambil masa untuk habiskan buku setebal 544 mukasurat kerana isinya yang sangat padat dan terperinci.
Susah untuk fokus membaca buku sebegini di mana perincian cerita dan fakta kadangkala membuatkan ianya menjadi sangat boring. Namun demi ingin mengetahui sejarahnya saya gagahi juga.

Buku lain setebal itu saya dapat habiskan dalam masa sekitar 1 minggu sahaja terutamanya buku-buku autobiografi.
22357_251566787276_7052660_n
 

3. Siapakah nama pengarang yang digemari? Judul buku kegemaran?

Saya menggemari novel “adventure” dan ada beberapa penulis yang saya mempunyai kesemua siri bukunya. Pertama ialah Robert Ludlum dengan siri buku “The Bourne Trilogy” dan Van Lustbader yang menyambung siri yang sama setelah kematian penulis asalnya.
Penulis yang paling saya gemar yang telah membantu membentuk siapa saya pada hari ini ialah Jules Verne. Buku-buku sains fiksyen beliau seperti  “Five Weeks in A Baloon”, “Journey To The Centre of The Earth”, “Twenty Thousands League Under The Sea”, “The Mysterious Island” dan banyak lagi.
Judul buku yang paling saya gemari dan dibaca hampir puluhan kali sejak saya di bangku sekolah lagi adalah “Around The World in 80 Days” juga oleh Jules Verne. Buku ini memberikan semangat dan keinginan kepada saya untuk mengembara melihat dunia.
 

4. Buku anda mendapat tempat di kalangan pembaca tempatan dan blog anda juga mempunyai bilangan ‘hits’ yang tinggi. Tip apa yang boleh anda beri untuk menjadi seorang penulis yang baik dan mampu menarik minat pembaca.

Saya tidak ada formula khusus untuk memberitahu anda cara bagaimana untuk manjadi penulis yang baik. Saya sendiri tidak pasti samada saya adalah seorang penulis yang baik. Namun saya gembira kerana saya adalah di antara penulis yang di terima masyarakat.
Apa yang saya lakukan adalah dengan menulis dari hati. Saya tidak menulis demi untuk memuaskan hati orang atau untuk mendapat perhatian. Saya tidak meniru cara atau gaya penulisan orang. Saya tidak mahu mengajar orang tulis begini dan begitu dan akhirnya orang itu tulisannya seperti saya dengan gaya yang sama.
Menulis, sama seperti kerjaya yang lain. Bila anda ingin ianya mudah dan bagus maka anda perlu kerap berlatih. Perlu kerap menulis untuk mendapatkan gaya penulisan anda sendiri. Saya mengambil masa hampir 6 tahun menulis dan memperbaiki penulisan saya. Bermula dari kosong, yakni tiada pembaca atau pengikut sehinggalah blog saya diakses hampir 6 juta kali dengan purata trafik sekitar 50 ribu hingga 120 ribu hits sebulan. Pengikut atau follower di facebook juga meningkat hampir kepada 20 ribu orang .
Pesanan saya, tulislah dari hati, jaga bahasa dan adab. Tulis dengan ejaan penuh, dan tulislah perkara-perkara yang membawa kebaikan. Tulis sedikit demi sedikit, perbaiki dan perkemaskan tulisan anda hari demi hari dan inshaAllah pasti akan ada hasilnya satu hari nanti.
 

5. Anda merupakan seorang pengembara yang tegar. Boleh namakan benua yang paling disukai dan kenapa?

Saya sangat menggemari Eropah.
Ianya benua yang tidak terlalu besar dan mudah untuk dilawati. Setiap negara adalah kecil dan memnpunyai bahasa dan kebudayaan yang sangat berbeza. Bentuk mukabumi, senibina, makanan dan tatasusila rakyat di setiap negara juga adalah berbeza.
Perbezaan ini membuatkan setiap negara adalah unik dan seronok untuk dilawati dan dipelajari segala perbezaan tersebut.
 

6. Nyatakan 3 perkara yang anda mesti bawa ketika mengembara selain daripada paspot dan kad kredit.


Kamera. Telefon. Kindle
 

7. Namakan travel blog yang anda ikuti dan rasa teruja untuk menunggu posting berikutnya.

Saya tidak ada blog khusus yang saya ikuti. Namun di Facebook saya suka ikuti page seperti The Vocket atau HHWT (Have Halal Will Travel) untuk mendapat maklumat-maklumat terkini tentang dunia kembara.
 

8. Adakah anda rasa perpustakaan merupakan satu sumber inspirasi yang bagus untuk menulis atau membuat penyelidikan sebelum berangkat ke sesebuah negara lain?

Secara jujurnya, perpustakaan tidak dapat menarik minat masyarakat untuk datang dan mencari buku untuk dibuat penyelidikan. Dengan adanya internet terutamanya Google, maklumat lebih mudah diakses dan lebih spesifik.

Sekiranya database atau katalog buku-buku yang ada di perpustakaan boleh diakses secara online maka peluang untuk datang ke perpustakaan adalah lebih tinggi.
Ini kerana tanpa katalong, pembaca tidak tahu samada bahan yang mahu dicari ada ataupun tidak. Bila dah pergi dan bahan atau buku yang dicari tidak ada maka ia adalah mengecewakan.

Tidak seperti kedai buku, katalog buku boleh diakses dengan mudah. Jadi pembaca tahu buku tersebut ada mereka tidak akan kecewa apabila ke kedai buku. Katalog perpustakaan kami pendeta.um.edu.my boleh diakses di mana2 dengan kemudahan internet 🙂
 

9. Tabiat membaca di kalangan rakyat Malaysia jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara maju. Ramai generasi muda lebih berminat kepada hiburan maya dan juga gajet elektronik dan tidak merasa membaca itu satu hobi yang menyeronokkan. Bagaimana anda rasa perubahan budaya boleh dilakukan untuk membawa kepada minat membaca yang lebih tinggi?

Membaca buku adalah perbuatan yang dilihat sebagai “nerd” oleh masyarakat. Jadi kita perlu tukar persepsi tersebut.
Pendapat saya, perlu adakan kempen yang menunjukkan buku atau membaca itu adalah satu perbuatan yang “cool” atau hebat. Iklan-iklan dan kempen di media massa perlu menonjolkan buku sebagai subjek utama.
Banyakkan poster-poster dan post-post di media sosial menunjukkan yang memegang buku ketika duduk atau berdiri di dalam tren, ketika menunggu bas, ketika di airport, ketika di tepi pantai dan sebagainya itu adalah hebat, segak, mewah dan gempak.

Kempen sebegini akan menaiktarafkan buku dan perbuatan membaca tersebut ke “level” lain dan nampak lebih “cool” dari memegang handphone atau tablet.
Anak-anak muda mudah terpengaruh dengan media massa terutamanya tv dan media sosial. Kalau setiap hari mereka disajikan dengan imej-imej menunjukkan buku adalah benda yang hebat maka minda separa sedar akan dapat menangkap mesej ini.
Lambat laun, membaca buku bukanlah lagi “nerd” lagi tetapi sangat “cool”.