Perginya permata pejuang seni : Profesor Emeritus Datin Dr. Rahmah Bujang

Pada tanggal 9 Jun 2021/28 Syawal 1442 H., jam 9.30 pagi, satu perkhabaran duka telah kami terima, kembalinya sebutir permata pejuang seni ke negeri abadi. Beliau yang kami kagumi, allahyarhamah Profesor Emeritus Datin Dr. Rahmah Bujang. Al-Fatihah…

Dilahirkan pada 18 Mac 1947, hari Selasa, di Pontian, beliau menceritakan zaman kanak-kanaknya dipenuhi dengan aktiviti lasak di mana beliau gemar memanjat pokok, mandi sungai, mandi kolam dan bermain sukan rakyat. Ketika kecil juga, beliau belajar menunggang basikal ayahnya dan berkayuh ke bawah palang sehingga pernah melanggar pagar dawai reban ayam. Dirinya lebih gemar bermain aktiviti lasak berbanding bermain permainan kanak-kanak perempuan pada ketika itu. 

Mendapat pendidikan di Sekolah Inggeris Pontian, Government English School, Pontian, English College, Johor Bahru, beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya di dalam bidang drama. Prof. Rahmah merupakan individu pertama yang membuat kajian dalam bidang drama (1969) di tanah air pada ketika itu. Seterusnya, beliau membuat kajian berkaitan tentang wayang bangsawan sebagai seni teater Melayu untuk Sarjana Sastera Universiti Malaya (1973) dan kemudiannya menjadi pensyarah di UM (1972-1973). Pada tahun 1974, beliau telah melanjutkan pengajian di peringkat PhD di University of Hull, Humberside, dan memilih ‘Boria’ sebagai fokus utama kajian beliau.

Atas jasa dan sumbangan yang amat besar dalam bidang pentadbiran dan akademik di Universiti Malaya, khususnya dalam bidang Pengajian Melayu, Pasukan Sejarah Lisan Perpustakaan Universiti Malaya meluahkan hasrat untuk mengadakan sesi wawancara bersama beliau. Tujuan wawancara adalah bagi merakamkan segala pengalaman yang beliau tempuhi dan rakaman tersebut merupakan salah satu langkah bagi mendokumentasikan peristiwa-peristiwa penting yang pernah berlaku sepanjang beliau berkhidmat di Universiti Malaya. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, cadangan kami disambut baik oleh beliau dan pasukan kami telah dijemput ke rumah kebunnya di Morib pada 2 Ogos 2019. 

Berikut merupakan sedutan sesi wawancara yang telah diadakan:

Soalan : Sebagai sebuah akademi di mana Prof pernah menyumbangkan tenaga dan pemikiran, apakah harapan prof terhadap Akademi Pengajian Melayu (APM)?

Jawapan : APM cinta pertama saya. Saya anak didik Pengajian Melayu, UM. Saya sama-sama ghairah dengan cita2 bersama rakan akademik di Jabatan Pengajian Melayu dalam merealisasikan APM, untuk Pengajian Melayu diangkat ke taraf Fakulti. Masa awal penubuhan APM segala tumpuan usaha saya adalah merealisasikan adanya sebuah Jabatan berkenaan Kesenian Melayu (JKM). Masa itu dalam team kami ialah Ku Zam Zam, Wan Kadir, antaranya. Tapi paling bersemangat ialah saya dengan Ku Zam Zam. Apabila berjumpa dgn NC (1995) untuk rancangan menaik taraf PK saya tetap berpegang kepada perlunya kekalkan JKM di APM. Alhamdulillah bawah pimpinan saya sebagai Ketua JKM bertahan terus (dari mula ditubuhkan hingga tahun 2006). Kini, walaupun JKM sudah disatukan dengan Jabatan Sosiobudaya Melayu secara pentadbiran tetapi pengajiannya tetap berjalan dengan baik bahkan berkembang dengan perkembangan tenaga akademiknya.

Lebih penting bagi saya ialah APM itu sendiri sebagai sebuah pengajian berentitikan ehwal Melayu tidak boleh disisi atau diketepikan. APM menjadi tunggak berkaitan pengajian Melayu di Malaysia. Sekarang ini, itulah satu-satunya tinggal pusat yang benar2 berkepentingan pengajian berkenaan Melayu yang wujud di negara kita. Pusat Kecemerlangan Melayu pula menjadi badan penyelidikan dan dokumentasian yang berusaha melebarkan pengajian Melayu kepada melibatkan bidang-bidang lain seperti perubatan, politik antaranya.

Amatlah malang jika APM dianggap tidak penting lagi oleh mana-mana pihak pun kerana APM berusaha untuk memartabatkan bangsa dan Bahasa Melayu melalui rentasan keilmuan yang dijalankan di APM. Harapan saya, bukan dikecutkan malah dikembangkan lagi supaya pengajian berkenaan Melayu lebih semarak dan terkini.

Soalan : Apakah pendapat prof tentang kualiti teater di Malaysia? Apakah aspek yang perlu diperbaiki untuk meningkatkan kualitinya?

Jawapan : Kualiti bukan sesuatu nilai yang muktamad, mungkin dianggap berkualiti ketika itu tapi kemudian didapati kurang pula kualitinya. Kerana itu jugalah konsep kemajuan, sentiasa dinamik dan forward looking. Apa yang fashionable boleh berubah mengikut selera semasa menjadi lapuk atau tak digemari. Saya nak tanya soalan cepu mas…ada tak konsep maju yang berkaitan dengan memilih kemunduran di sebalik kemajuan? Fikir dan jawab sendiri…

Walau bagaimanapun bila sebut kualiti teater juga melibatkan bukan saja penerimaan khalayak tetapi juga soal apakah ada kegiatannya yang boleh disambut oleh khalayak untuk digemari atau tidak. Di situ tersirat isu keilmuan, kegiatan, dan penerimaan khalayak sebagai kelangsungan dan kemertabatan teater bagi membulatkan soal dinamik tidaknya seni teater di Malaysia.

Soalan : Apakah nasihat Prof terhadap para pensyarah yang menceburi bidang teater ini sebagai pengkhususan akademik?

Jawapan : Cipta nama dalam sesuatu bentuk teater. Teater adalah bidang yang mencakupi bukan sahaja ilmu pengurusan dan mendalami bentuk2 yang ada, tetapi juga mempraktikkan persembahan sesuatu bentuknya. Saya sendiri berani mengatakan yang saya sinonim dengan Bangsawan kerana menjadikannya bukan sahaja hasil kajian Sarjana saya tetapi juga mengaktifkannya sebagai sebuah bentuk seni persembahan teater. Selok belok bentuk sesuatu bentuk teater yang kita amalikan malah jadi lebih jelas hingga boleh membawa kepada bukan sahaja kpd mengesankan detail2 tradisi persembahannya, bahkan juga memberi cabaran   usaha menginovasikan bentuk itu.

Selain itu perlu juga mendinamikkan diri dengan berusaha mencuba bentuk2 lain, walaupun melalui kegiatan siswa atau dalam kelas. Saya sendiri menggunakan pelajar untuk memperkenalkan monodrama, drama pendek dan …, kerana apabila dijadikan bahan pengajaran atau praktik dalam pengajaran sebagai pensyarah perlu mengkaji untuk tahu dulu apa yang ada dan penting berkaitan sesuatu bentuk itu. Lalu akan lebih banyak input ilmu sesuatu bentuk teater itu yang kita dapat. Maksud saya dalam mencipta nama untuk sesuatu bentuk teater jangan pula jadi taksub hingga tidak mahu berusaha memperkenalkan bentuk yang lain.

Untuk mengikuti sesi wawancara ini bolehlah berkunjung ke channel Youtube Perpustakaan Universiti Malaya di:

Prof juga telah berkongsi pahit manis pengalaman berkeluarga lebih dari 40 tahun yang boleh dijadikan pedoman:

Sesi wawancara ini dikendalikan oleh Puan Noorsuzila Mohamad, Pustakawan Kanan serta dibantu oleh Encik Azwan Mohd Naser dan Encik Nor Mohamad Faiz bin Nor Fassal selaku juruteknik yang bertugas bersama ahli Pasukan Sejarah Lisan yang lain.

Dengan rasa dukacita, seluruh warga kerja Perpustakaan Universiti Malaya menzahirkan salam takziah buat keluarga Allahyarhamah dan mendoakan agar rohnya dirahmati dan diletakkan di sisi orang yang soleh dalam Syurga NaimNya.

Pasukan Sejarah Lisan
Perpustakaan Universiti Malaya

Jun 2021

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s