Syair adalah antara khazanah budaya yang menjadi kegemaran masyarakat Melayu lama dan dikategorikan sebagai sejenis puisi berlagu serta disampaikan dalam bentuk rangkap. Setiap rangkap dalam syair mengandungi sebanyak 4 baris dan ianya membawa maksud tertentu yang ingin disampaikan berasaskan sesuatu sejarah, kisah masyarakat atau kisah dongeng.
Perkataan syair berasal dari bahasa Arab, syu’ur yang bermaksud “perasaan”. Jika ditafsirkan, syair boleh diterjemah sebagai satu luahan perasaan atau pemikiran pengarangnya. Syair terdiri daripada pelbagai jenis, antaranya syair romantik, syair sejarah, syair sindiran, syair ibarat dan juga syair yang berunsur keagamaan.

Menyedari kepentingan syair sebagai satu khazanah ilmu, ianya pasti menjadi koleksi yang penting di dalam sesebuah Perpustakaan. Begitu juga dengan Perpustakaan Universiti Malaya (PUM). Syair merupakan antara koleksi perpustakaan Universiti Malaya yang dijaga dengan baik bagi melestarikan khazanah budaya untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang.
Kesinambungan dengan itu, PUM telah mengambil inisiatif dalam menyebarluaskan berkaitan koleksi manuskrip termasuk koleksi syair yang terdapat di Perpustakaan Peringatan Za’ba. Antara syair yang diketengahkan semasa Persidangan Pustakawan Tahunan Malaysia (PTPM) tersebut adalah syair ikan terubuk. Penerangan tersebut telah diterjemahkan dalam bentuk kertas kerja yang disediakan oleh Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Encik Mahbob Yusof dan Puan Juhaida Abdul Rahim, Pustakawan Kanan.

Syair Ikan terubuk juga adalah antara syair yang telah ditransliterasi oleh Perpustakaan Universiti Malaya bagi memudahkan pengguna untuk memahami dan mendalami syair tersebut. Selain itu, sempena program Sehari Bersama Pustakawan Universiti Awam pada 22 April 2021, video pendek syair ikan terubuk yang dideklamasikan oleh dua orang Pustakawan PUM iaitu Puan Siti Mawarni Salim dan Puan Noraslinda Sanusi telah dimainkan.
Sesungguhnya pendeklamasian syair bukanlah sesuatu yang mudah bagi kedua pustakawan ini. Pelbagai kerenah dan ragam yang berlaku, sementelah rakaman dibuat pada bulan Ramadan. Namun hasil kerjasama semua, termasuk staf dari Bahagian Pemeliharaan dan Pemuliharaan, Perpustakaan Universiti Malaya iaitu Encik Faiz dan Encik Azwan yang bertindak sebagai jurukamera dan penyunting video sangat membantu kelancaran rakaman pendeklamasian syair ikan terubuk ini.

Rujukan
Mahbob Yusof & Juhaida Abdul Rahim. (14-18 Jun 2021). “Asal terubuk ikan puaka;
Tempatnya konon di Laut Melaka” – Transliterasi Manuskrip Melayu Jawi: Inovasi dan kreativiti pustakawan. Kertaskerja dibentangkan dalam Persidangan Tahunan Pustakawan Malaysia, 15p.
Syaidatul Enneza Nazira Mahmud. (2014). Syair ikan terubuk.
https://syaidatulennezanaziramahmud.blogspot.com/2014/09/syair-ikan-terubuk.html
Tongkrongan Islami. (2017). Ternyata ada hadis pelarangan Syair, Apakah termasuk
Puisi dan Sajak di dalamnya?. https://www.tongkronganislami.net/ternyata-ada-hadis-pelarangan-syair/