Unit Media sebagai sebuah unit yang menempatkan pelbagai bahan media turut mempunyai koleksi berkaitan Tan Sri Datuk Amar Dr. P. Ramlee atau lebih dikenali dengan nama P. Ramlee. Justeru itu, satu pameran berkaitan sejarah hidup P. Ramlee yang dianggap sebagai sebutir permata yang menyinar sepanjang zaman telah diadakan sepanjang bulan Ogos 2016 bertempat di Unit Media, Aras 4, Perpustakaan Utama. Melalui pameran ini, pengguna perpustakaan akan lebih mengenali P. Ramlee yang telah banyak berjasa di dalam industri hiburan tanah air khususnya dan Asia Tenggara amnya. Pameran yang diadakan memaparkan poster-poster yang mengandungi sejarah hidup, perkembangan seni, rumah beliau dan buku-buku berkaitan P. Ramlee. Di samping itu, koleksi media yang berbentuk DVD dan juga piring hitam berkaitan P. Ramlee turut dipamerkan. Pengguna juga boleh menonton filem-filem P.Ramlee berhampiran kawasan pameran. Oleh yang demikian, dengan adanya pameran ini, karya-karya berkaitan P. Ramlee akan dapat dibaca dan ditonton oleh pengguna yang berkunjung ke Perpustakaan.
Biodata P.Ramlee
Tan Sri Datuk Amar Dr. P. Ramlee atau lebih dikenali dengan nama P. Ramlee dilahirkan sebagai Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh pada 22 Mac 1929. Beliau telah dilahirkan di Pulau Pinang pada 22 Mac 1929 di pagi Aidil Fitri. Semasa hayatnya, beliau merupakan seorang penyanyi, pelakon, pengarah, pemuzik dan penulis lagu yang berasal dari Pulau Pinang, Malaysia. Beliau juga digelar sebagai “Seniman Agung Negara” kerana jasanya yang amat besar dalam industri hiburan terutamanya di rantau Asia Tenggara. Beliau pernah mendapat pengiktirafan antarabangsa seperti Best Male Lead Role (Festival Filem Asia Ke-4, Tokyo) dan Most Versatile Talent (Festival Filem Asia Ke-10, Tokyo). Beliau berjaya menghasilkan sebanyak 401 buah lagu dan 66 buah filem sepanjang hayatnya.
Pendidikan
P. Ramlee menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan Francis Light English School. Seterusnya, beliau menyambung pelajaran di Penang Free School sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua. Ketika beliau masih bersekolah di Penang Free School, beliau dikenali sebagai pelajar yang kemas daripada segi tulisan dan mempunyai bahasa yang menarik. Ketika zaman pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, beliau belajar di Japanese Navy School (Kaigun Gakko) sebelum kembali ke Penang Free School apabila perang tamat.
Permulaan kerjaya seni
P. Ramlee mula meminati bidang muzik apabila melihat rakan-rakan sekampungnya bermain muzik. Selepas selesai menunaikan solat pada waktu malam, beliau berlatih bermain muzik bersama pancaragam Sinaran Bintang Sore. Seterusnya, beliau menyertai Orkes Teruna Sekampung sebagai pemain biola, penyanyi, dan pencipta lagu. Beliau mula mencuba nasib dengan menyertai sebuah pertandingan nyanyian anjuran Radio Malaya bahagian utara. Pada tahun 1947, beliau berjaya mendapat tempat pertama sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya. Sejak dari itu, namanya dan Orkes Teruna Sekampung dikenali ramai di kawasan utara.
Bermula dengan bermain ukulele, P. Ramlee beralih kepada gitar dan biola di bawah bimbingan Encik Kamaruddin (pemimpin brass band di Penang Free School). Beliau menyertai Orkes Teruna Sekampung dan kemudian Sinaran Bintang Sore. Beliau pernah menjadi juara nyanyian anjuran Radio Pulau Pinang pada tahun 1947 dan telah terpilih sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya. Dalam pertandingan itu, beliau menggunakan huruf “P” (bagi Puteh) di awal namanya dan nama P. Ramlee itu hingga ke akhir hayatnya.
Kejayaan dalam bidang lakonan
Filem pertama lakonan P. Ramlee ialah filem berjudul Chinta, sebuah filem yang dikeluarkan pada tahun 1948. Beliau memegang watak sebagai penjahat dan nyanyian latar. Kejayaannya terus berkembang dan telah berjaya berlakon di dalam 27 buah filem di antara tahun 1948 hingga 1955. Tan Sri L. Krishnan yang merupakan pengarah bagi filem Melayu sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an merupakan salah seorang pendorong dan guru beliau dalam dunia perfileman Melayu. Gaya lakonan beliau yang amat berjaya itu adalah hasil inspirasi daripada dua pelakon terkenal dari India Selatan iaitu MGR dan Sivaji Ganesan. Filem terakhir lakonan beliau ialah Laxmana Do Re Mi pada tahun 1972 manakala lagu dan lirik terakhirnya ialah Air Mata di Kuala Lumpur pada tahun 1973 sebelum beliau meninggal dunia.
Penghargaan selepas pemergian dan kematian
P. Ramlee telah kembali ke Rahmatullah pada pagi Selasa, 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Bagi mengenang jasa dan sumbangannya, beliau telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri. Beliau turut mendapat penghargaan Doktor Falsafah dalam bidang seni persembahan pada tahun 2005 yang membawa gelaran “doktor”. Beliau juga diberi penghormatan oleh Pemerintah Negeri Sarawak dengan penganugerahan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak atau Datuk Amar Bintang Kenyalang (Posthumous) (DA (P)) pada 2009. Di samping itu, P. Ramlee telah menerima Pingat Kebesaran Ahli Mangku Negara (A.M.N.) daripada Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail (Yang di-Pertuan Agong Ke-3).
Anugerah yang diperolehi
*Best Musical Score for Hang Tuah — Third Asian Film Festival, Hong Kong (1956)
* Best Male Actor for Anak-ku Sazali (My son, Sazali) — Fourth Asian Film Festival, Tokyo(1957)
* Best Comedy Film for Nujum Pak Belalang (The Fortune Teller) — Seventh Asian Film Festival,Tokyo(1960)
* Most Versatile Talent for Ibu Mertua Ku (My Mother In-law) — Tenth Asian Film Festival, Tokyo (1963)
* Best Comedy Film for Madu Tiga (Three Wives) — Eleventh Asian Film Festival, Taipei (1964)
Sumber : http://www.liriklagumuzika.com/2008/11/biografi-biodata-pramlee.html
Sumber : https://ms.wikipedia.org/wiki/P._Ramlee
Noraslinda Sanusi
Pustakawan Unit Media