Belasungkawa untuk Datuk Dr Shahnon Ahmad

 

Sasterawan negara Datuk Dr Shahnon Ahmad meninggal dunia pagi tadi akibat pneumonia pada usia 84 tahun di Hospital KPJ Kajang.

Anak kepada seorang posmen, beliau dilahirkan pada 12 Januari 1933, di Banggul Derdap, Sik, Kedah. Beliau telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1971 dari Australia National University dan Sarjana Sastera pada tahun 1975 dari Universiti Sains Malaysia. Datuk Dr Shahnon Ahmad mula giat menulis sejak tahun 1956 dengan tulisannya yang berbentuk cerpen, esei dan kritikan. Beliau menghasilkan novel pertamanya berjudul Rentong (1965). Novel Ranjau sa-panjang jalan (1966) telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Adibah Amin berjudul No Harvest But a Thorn. Novel ini juga diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia, Belanda, Denmark dan Jepun. Novelnya Srengenge (1973) telah dipilih oleh Panel Hadiah Karya Sastera sebagai novel yang terbaik untuk tahun 1973. Beberapa buah cerpennya hampir setiap tahun telah dipilih memenangi Hadiah Karya Sastera. Pada tahun 1974, beliau memenangi pula Hadiah Sastera untuk bidang esei dan kritikan.

Penulisan Sasterawan Negara ini banyak berkisar tentang kehidupan peribadi dan masyarakatnya. Beliau sendiri mengaku cerita yang dipaparkan dalam novel seperti Rentong, Ranjau Sepanjang Jalan, Srengenge dan Seluang Menodak Baung adalah timbunan cerita tentang orang kampung yang pada masa itu amat mesra dengannya1.

Kehidupan di kota besar pula, seperti di Pulau Pinang telah memberi ilham untuk menghasilkan novel seperti Sampah, Kemelut dan Seluang Menodak Baung. Tunggul-tunggul Gerigis diilhamkan daripada peristiwa hitam Mamali2. Menurut Mohamad Daud Mohamad, unsur yang menjadi dasar percatuan politik dalam Tunggul-tunggul Gerigis ialah pengalaman sosial dan budaya yang berlaku dekat dengan dirinya. Karya Tok Guru juga berasaskan pengalaman Shahnon dalam satu pertubuhan agama yang pernah dianggotainya.

Shahnon telah dilantik menjadi salah seorang anggota Panel Hadiah Karya Sastera tahun 1975 dan telah dianugerahi gelaran ‘Pejuang Sastera’ oleh YAB Perdana Menteri pada tahun 1976. Atas jasa baktinya dalam bidang kesusasteraan tanahair, beliau telah dikurniakan Bintang KMN oleh Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong dalam tahun 1977 dan dua tahun kemudiannya telah dikurniakan pula Bintang DSDK yang membawa gelaran Datuk oleh DYMM Sultan Kedah.

Nama Shahnon untuk menerima Anugerah Sastera Negara tahun 1982 telah dicalonkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dan Prof Tan Sri Awang Had Salleh.

 Kumpulan Cerpen

  1. Anjing-anjing (1964)
  2. Debu merah (1965)
  3. Konflik (1967)
  4. Selesai sudah (1977)
  5. The third notch and other stories ; translated by Harry Aveling (1980)
  6. Igauan dan cerita-cerita lain (1996)
  7. Mahamaha (1999)
  8. Tonil Purbawara (2005)
  9. Pabila hujan turun (2015)

Novel dan buku yang telah dihasilkan :

  1. Rentong (1965)
  2. Terdedah (1965)
  3. Ranjau Sepanjang Jalan (1966)
  4. Menteri (1967)
  5. Protes (1967)
  6. Perdana (1969)
  7. Srengenge (1973)
  8. Sampah (1974)
  9. Kemelut (1977)
  10. Selesai sudah (1977)
  11. Seluang menodak baung (1978)
  12. Al-Shiqaq
  13. Protes (1984)
  14. Debu merah (1980)
  15. Tunggul-tunggul gerigis (1988)
  16. Tok Guru (1988)
  17. Sutan Baginda (1989)
  18. Gubahan novel (1989)
  19. Ummi dan Abang Syeikhul (1995)
  20. Corat coret berkelongsong (1995)
  21. Patriarch (1995)
  22. Tivi (1995)
  23. Shit (1999)
  24. Lamunan puitis : sebuah triologi (2005)
  25. Detik-detik diri di daerah daif (2005)
  26. Perjalananku sejauh ini : sebuah autobiografi (2006)
  27. Weltanschauung : suatu perjalanan kreatif (2008)

Kajian

  1. Penglibatan dalam puisi (1978)
  2. Gubahan novel (1979)
  3. Kesusasteraan dan etika Islam (1981)
  4. Sastera sebagai seismograf kehidupan (1985)
  5. Pongang sastera : gema kaya kreatif dan kesannya terhadap khalayak (1995)
  6. Kesasterawanan: Kepolitikan, kealaman, kedirian, kemanusiaan (1996)
  7. Setitis embun semarak api (2006)

26165184_10214862000404964_5744105284058917042_n

Al-fatihah Datuk Dr Shahnon Ahmad dan takziah buat keluarga beliau. Semoga roh almarhum ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

** Kesemua karya yang tersenarai di atas boleh didapati di Perpustakaan Peringatan Za’ba.

Rujukan : 

  1. Sohaimi Abdul Aziz. (1992). Mobiliti sosial perspektif barat dan Islam dalam novel terpilih Shahnon Ahmad. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
  2. Peristiwa berdarah Mamali berlaku pada 20 November 1985 di Kampung Mamali, Ceruk Putih Mukim Siong, Baling, Kedah.

 

Perpustakaan Peringatan Za’ba
26 Disember 2017

Leave a comment